Wednesday, March 17, 2010

Hebatnya arahan kefardhuan solat

Samada anda sudah berumur sesudah baligh ataupun meningkat dewasa termasuk veteran, apabila soal muslim mukmin, tidak terlintas untuk mempertikaikan kefardhuan solat itu ataupun menyangkal secara keras perkara pertama dalam rukun Islam ini. Ia arahan yang qat’ie dan wajib untuk dilaksanakan.

Persoalannya, kita bersolat itu kategori orang awam ataupun seorang muslim yang berilmu yang peringkat amalannya mestilah ada lebih sedikit berbanding dengan amalan orang awam. Bagi saya, boleh dikatakan agak malu seandainya peringkat orang awam itu belajar kemudian lebih baik berbanding golongan yang disebut agamawan. Khususnya kita sebagai mahasiswa Islam. Sepatutnya sifat inginkan yang terbaik hidup dalam kamus muslim itu kerana syurga hanya layak untuk orang yang terbaik.

Bukan niat saya pada entri kali ini tertumpu kearah itu, namun sekadar renungan bersama.

Kunci segala amalan.

Kita sudah acap kali dan sering diberitahu tentang soalan pertama yang akan ditanya kelak adalah bagaimana solat kita di dunia oleh Khaliquna ketika di padang Mahsyar nanti. Ia diumpamakan kunci rumah bagi seseorang yang ingin memasuki rumah tersebut. Maka soalan tentang solat ini, kunci bagi segala amalan kita sebelum segala amalan lain disoal.

"أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ عَلَيْهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ الصَّلَاةُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَنَجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَ خَسِرَ"

"pertama seorang dhamba dihisab pada hari qiyamat adalah sholat, maka jika baik (mengerjakan sholat) maka akan beruntung dan selamat, dan jika buruk (tidak mengerjakan sholat maka sungguh dia gagal dan merugi". (HR. Bukhori: 540 dan Muslim:1005)

Sinikifiken solat itu sendiri

Agungnya perintah kefardhuan solat itu boleh kita ambil sebagai mana perjalanan peristiwa agung Umat Islam iaitu Isra’ Mi’raj. Termasuk satu – satu perintah Allah yang diwajibkan ke atas umat Islam yang Allah sendiri turunkan kepada Junjungan besar kita Nabi Muhammad sallahualaihiwassallam. Ia juga dinyatakan dalam Surah pada Juzu’ pertengahan yang memperihalkan peristiwa ini.

Seperti yang kita ketahui, sorotan perjalanan Isra’ Mi’raj bermula dari Masjidil Haram yang hati Baginda Nabi Muhammad sallahualaihiwassallam dicuci untuk kali yang kedua selepas pencucian untuk kali pertama ketika Baginda diasuh oleh Halimatus Sa’diah.

Kita melihat bagaimana salah satu cabang lain pada peristiwa ini bahawasanya arahan solat ini begitu tinggi nilaiannya. Dimana untuk bertemu dengan Sang Pencipta disamping itu arahan kefardhuan solat sangat berkualiti.Kemudian ke Masjid al-Aqsa yang mengambil perjalanan 40 hari 40 malam untuk sampai di Masjid al-Aqsa. Kemudian Baginda mengimamkan solat yang makmumnya adalah para anbiya’ terdahulu. Kemudian Baginda menaiki buro’ dan terus ke Sidratul Muntaha bertemu dengan Tuhan Yang Maha Agong.

Ringkasnya…

Dengan beberapa kali Nabi bertemu para Nabi – nabi untuk menyatakan jumlah kefardhuan solat yang Allah turunkan sebanyak 50 kali waktu sehari pada awalnya. Hasil simpati Para Anbiya’ yang melihat menyatakan ummat Nabi Muhammad adalah tidak mampu dengan bilangan solat fardhu seharian. Setelah berkali – kali dan yang akhirnya, arahan 5 kali waktu solat seharian ditetapkan.

Solat kita bagaimana?

Hadith yang masyhur juga menyebut

"صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ أُصَلِّيْ"

"Sholatlah kalian seperti apa yang telah kalian lihat aku sholat". (HR. Ibnu Hibban: 1658)

Memang kita tidak mampu untuk mengikut satu persatu bagaimana perjalanan Nabi Muhammad bersolat. Namun kita perlu berusaha kearah solat kita ini seakan seperti mana solat Baginda.insya Allah.

Memang ia kunci di akhirat kelak

Kita juga sudah didedahkan dengan pertanyaan tentang solat yang diletakkan sebagai kunci sebelum pertanyaan amalan seterusnya. Pertamanya untuk diri saya sendiri dalam soal solat ini. Kesan pada kehidupan seharian ada maknanya.

Jadi, Solat dengan akhlak lain ke? Atau kepimpinan dengan akhlak lain juga ke?

Allah Subhanahu wa Taala berfirman yang maksudnya :

"Dan Dirikanlah sholat. Sesungguhnya sholat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar". (QS. Al 'Ankabuut [29]: 45)

Umur sudah menjangkau 24, 25 tahun dan seterusnya dalam baki umur hidup ini. Selama itu lah kita sudah bersolat dan terus bersolat. Namun solat itu tidak diterjemahkan hasilnya ke dalam akhlak masing – masing. Hanya solat sahaja berpanjangan. Soal ini bukan hanya pada orang awam tetapi ia ditujukan kepada golongan agamawan ataupun mahasiswa Islam.

Maka solat juga memainkan peranan penting dalam akhlak kita seharian seterusnya dapat bersama - sama mencegah ataupun mengubah perkara mungkar. Jadi solat itu akan menjadi nadi hubungan kita dengan Allah lalu akan timbul seharian itu pada cerminan akhlaknya. Tidak lain tidak bukan kualiti solatnya.

Surah al –Mau’un telah menjelaskan celakalah bagi seseorang yang lalai dalam sebahagian solatnya. Yang juga pada solat tedapat sifat riak dan sebagainya. Semoga kita dijauhi sifat – sifat tersebut.

Oleh yang demikian, sama – sama kita tingkatkan kualiti dan mutu solat kita sebelum kita disolatkan dengan empat takbir sebagai solat kita terakhir dengan alam dunia ini. Akhir kalam, musyarokah ini khususnya kepada jari yang menaip dan ditujukan kepada sidang pembaca.

Wallahua'lam bis Sowab

Saturday, January 16, 2010

Diskusi ilmiah : Ia sudah mengorak langkah

Baru – baru ini kita dikejutkan dengan pelbagai isu dan peristiwa samada nasional ataupun peringkat global. Jika ditatap ke maklumat global, peristiwa yang menghayat hati akibat gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter yang melanda Port Au Prince di Haiti Selasa lalu. Yang telah mengorbankan hampir 100,000 nyawa serta hampir keseluruhan harta benda musnah.

Di Malaysia.
Isu yang terkini di Malaysia yang kita cintai adalah isu penggunaan kalimah Allah oleh Masyarakat non Muslim. Ia bermula dengan penggunaan sebuah akhbar Mingguan Katholik, Herald. Ditambah dengan perlakuan seperti membaling bom,cat dan sebagainya terhadap pusat ibadah non muslim serta di dua masjid di Malaysia. Sebelum itu pelbagai pihak samada pro ataupun kontra terhadap kes ini semakin luas diperkatakan ditambah siri demo bagi pihak yang membantah.

Dalam isu ini terdapat ianya dipolitikkan dan dijadikan sebagai ukuran bagi sesuatu perkara, saya melihat dari satu sudut yang boleh membawa kearah yang lebih gemilang dan menarik untuk diperkatakan sebenarnya.

Sessi perdebatan dan diskusi ilmiah antara agama.

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah
dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang
baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui
tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang
lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
an-Nahl : 125

Alhamdulillah suasana perdebatan ataupun diskusi ilmiah mula dilihat berkembang dan bakal merebak. Bagi pandangan saya medan ini sudah ke peringkat intelektual dari semua tahap pemikiran dalam isu terdekat ini. Bukan lagi hanya satu pihak sahaja, malah pelbagai institusi turut sama untuk memberikan pandangan supaya ruang kebenaran itu diletakkan pada tempatnya.

Hasil diskusi antara penganut agama lain akan tersentuh kesan daripada perbincangan ataupun medan perdebatan yang harmoni dan saling menghormati. Kerana Islam itu adalah fitrah yang sebenarnya memerlukan pengetuk agar hati – hati non Muslim termasuk sesama muslim itu tersentuh hasil perjalanan dakwah yang kita jalankan.

Seperti mana kita sedia maklum, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang menganjurkan sesi dua hala setelah pihak PMIUM, Free Public Speak ( FPF ) dan KISCAH telah mengadakan sidang debat berkenaan isu penggunaan kalimah Allah dengan menampilkan ahli finalis pelbagai latar belakang. Dan terbaru usaha Dr Rani Adun Pas Meru dalam pertemuan dengan Paderi Pastor Lau berdialog di Gereja Glad Tidings Assembly Klang.


Dr Rani Adun Pas Meru dalam pertemuan dengan Paderi Pastor Lau.(Sumber gambar dari harakahdaily.net)

Dan bakal menyusul adalah usaha DPP Pusat dan DPP Wilayah Persekutuan akan mengadakan sessi munaqasyah ilmiah bersama – sama dengan penerbit majalah Mingguan Katholik, Herald yang saya kira medan yang optimum bagi menjelaskan isu pengunaan kalimah Allah. Serta satu – satunya pihak yang mengambil pendekatan baik iaitu terus dengan pihak majalah Katholik, Herald. Ini perkembangan yang sihat dalam kita menyampaikan mesej Islam.

Sebagaimana usaha yang dilakukan cendekiawan Islam seperti Syeikh Ahmad Deddat, Dr Zakir Abdul Karim Naik dan ramai lagi yang berjaya mengembangkan Islam dan dakwahnya ke seluruh pelusuk dunia melalui medan ini.

Dua cendekiawan Islam yang unggul

Duta Allah ikutan kita

Dari aspek sejarah dan qudwah itu sandarannya, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta tabiin selepasnya telah menggunakan pendekatan dakwah bi al-lisan wa kitabah dalam usaha untuk menyampai dan menyebar-luaskan usaha dakwah. Baginda menyampaikan Islam dan menegakkan kebenarannya berdasarkan ilmu dan rasional, tidak dengan perasaan dan emosi. Kenyataan ini dapat dilihat dalam banyak perkara antaranya, baginda berdialog dengan kafir Quraisy untuk menunjukkan kebenaran al-Quran.

Dalam dialog tersebut, baginda menerangkan bahawa al-Quran adalah wahyu daripada Allah s.w.t. dengan mengemukakan bukti dan alasan yang jelas. Apabila mereka tidak masih tidak mahu menerima Islam dan kebenaran al-Quran, maka baginda telah meminta supaya mereka menciptakan satu karya yang setanding dengan al-Quran, ternyata cabaran ini tidak dapat mereka laksanakan.

Demikian juga dialog dengan golongan Kristian, yang mana baginda mendedahkan kepada mereka tentang penyelewengan yang berlaku dalam kitab Injil berdasarkan pengumpulan dan penulisan mereka (old testament dan new testament), begitu juga tentang perubahan-perubahan besar terhadap isi kandungannya seperti perubahan konsep tauhid kepada konsep trinity, konsep penjelmaan Tuhan dalam anak dan lain-lain.

Salah satu metod Rasulullah ini perlu kita ikuti dan gunakan dalam bagaimana kita menggunakan produk Islam kepada mad’uk termasuk yang bukan beragama Islam. Akhirnya terbuka hijap kepada mereka untuk memahami Islam itu sebenarnya.

Mungkin masih di peringkat awal untuk melihat keberkesanan diskusi dan sebagainya namun kesudahannya dana keberhasilannya nanti akan terlihat pada masa akan datang. Mungkin pada masa itu kita sudah tiada yang akan melaluinya adalah anak cucu kita.Insya Allah. Sebagaimana hasilnya dakwah Rasulullah yang telah membuka hati orang kafir untuk memeluk Islam.

Persoalannya bukannya setakat pada isu melibatkan antara agama malah dalam isu kepimpinan Negara,hak rakyat yang terbiar, isu peringkat mahasiswa, masalah akhlak rakyat Malaysia dan sebagainya mahupun isu global yang mampu meningkatkan pemikiran.

Pihak kerajaan.

Alangkah indahnya medan ini diperluaskan sejak dahulu lagi bagi pihak kerajaan. Namun medan ini amat jarang dipraktikalkan secara meluas dan series oleh pihak kerajaan. Saya tidak nafikan memang wujud tetapi banyak persoalan yang rakyat perlu tahu dan sehingga kini ia hanya bertimbun dan terbiar begitu sahaja. Dan hanya isu remeh temeh menjadi topik dalam beberapa diskusi.
Harapan yang tinggi sebenarnya kepada kerajaan dalam ruang sebegini supaya minda rakyat tidak lagi dikandangkan.

Cerita diskusi Darul Muttaqin.

Usul diskusi ini pernah dicadangkan oleh abang kami dalam halaqah di Darul Muttaqin sebelum dicadangkan ke perwakilan bagi mengisi ruang usul untuk Pihak Permata pada 24 Disember yang lalu dalam program FISCO dahulu. Alhamdulillah, usaha ini disokong oleh ahli Permata dalam sessi perbahasan usul. Semoga usaha ini didokong semua ahli Permata yang bakal dilaksanakan.

Diharap usaha ini mendapat tempat dalam hati masyarakat kita supaya pemikiran kita lebih terbuka dan mendapat maklumat yang boleh diperolehi sebagai thaqafah kita.

Insya Allah, usaha ini sebagai satu cara kita sebagai da’ie kepada masyarakat supaya Islam itu bukan lagi keturunan tetapi is adalah fitrah manusia bagi Muslim. Dan bagi non Muslim ia merupakan kebenaran yang tiba setelah hidayah itu hinggap pada hati yang inginkan hak itu terpampang dihadapannya. Dan paling utama sekali, faktor ahli pada sesuatu isu ataupun sebarang ruang dan permasalahan begitu mustahak dalam menyelesaikannya. Dan bukannya ataupun bukan ahlinya, maka nantikanlah kemusnahannya kelak.

p/s sekadar pandangan yang boleh diambil pengajaran dan sebaliknya jadikan sebagai perkongsian kita bersama agar manfaat itu diambil dan dikongikan dengan teman - teman yang lain. Maaf ayat yang tidak seberapa.